Saturday, May 28, 2011

Pertemuan Penuh Ukhuwah Pimpinan PAS & PKR Tanjong Malim

Bergambar kenangan sejurus selepas perbincangan..

29 Mei 2011- Buat julung kali secara rasminya, pimpinan Pas Kawasan Tg Malim telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Cabang Tanjong Malim. Pertemuan seramai 20 orang pimpinan ini telah diketuai oleh YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli bersama pimpinan Harian Pas Kawasan dan di pihak PKR diketuai oleh Naib Pengerusi Cabang PKR Tg Malim, Wan Zulkipli dan rombongan.



Perbincangan menjurus kepada perancangan bagi mengadakan program bersama dalam kawasan Tg Malim. Berbekalkan semangat ukhuwah yang tinggi daripada kedua-dua pihak pimpinan, perbincangan telah berlangsung dalam suasana penuh dengan kesediaan mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin. Antara program terdekat yang dibincangkan akan dilaksanakan secara bersama ialah Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat di Slim River.



Menurut YDP Pas Tg Malim, pembentukan sekretariat bagi melicinkan perjalanan Pakatan Rakyat di Tanjong Malim perlu disegerakan. Tambahnya lagi, matlamat yang satu untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan memenangkan Pakatan Rakyat serta menawan Putrajaya bukanlah omong-omong kosong, tetapi ianya bersandarkan kepada fakta bahawa Pas dan Pakatan Rakyat memang bersedia untuk mengambil alih pentadbiran negara ini bagi memastikan kebajikan rakyat menjadi agenda utama untuk direalisasikan.



Majlis yang bermula sekitar jam 2.00 petang itu telah dilangsungkan di Pejabat Pas Kawasan Tg Malim, Bandar Baharu Slim River. Majlis berakhir sekitar jam 4.00 petang dengan pimpinan kedua-dua parti minum petang di sebuah restoran di Slim River.

Serius...Perbincangan dan bertukar-tukar fikiran

Menikmati jamuan selepas sesi pertemuan...

Thursday, May 12, 2011

Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil Untuk Allahyarham Ust Hashim

Gambar kenangan ketika arwah terlantar sakit..

10 Mei - Sekitar jam 7.05 pagi, pihak Pas Kawasan Tg Malim telah dimaklumkan secara rasmi kembalinya AF Ustaz Hashim Hamud, Mantan Ketua Urusan Ulamak Pas Kawasan Tg Malim menghadap Ilahi. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Tanjung Karang dan di kebumikan di sana.

Atas kesedaran, ramai kenalan dan sahabat-sahabat allahyarham tidak sempat menziarahinya, maka Pas kawasan Tg Malim dengan kerjasama Pas Cawangan Kg Rasau telah menganjurkan satu majlis Bacaan Yaasin dan tahlil untuk arwah. Majlis diadakan di Masjid Kg Rasau.

Bacaan yaasin dan tahlil dipimpin oleh AF Tn Hj Baharuddin Ishak, Ketua Urusan Ulamak Pas Tg Malim. Selesai Solat Maghrib, semua hadirin yang memenuhi ruang masjid itu terus bersedia membaca Yaasin. Sebelum majlis bermula, YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli sempat memberikan sepatah dua kata sebagai aluan dan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir dan menjayakan majlis.

Majlis bersurai setelah semua jamaah selesai menunaikan Solat Isyak. Laungan takbir menggegarkan suasana masjid sebaik sahaja imam selesai memimpin doa Solat Isyak.

Allahu akbar!! Allahu akbar!! Allahu akbar!!

Semoga ruh Allahyarham digolongkan bersama orang-orang yang mendapat keampunan Allah serta diredhai...Amin.

Wednesday, May 4, 2011

Bob Lokman dan DS Nizar Memukau Hadirin di Tg Malim


3 Mei 2011- Program Ceramah Khas melibatkan Menteri Besar Perak pilihan rakyat, DS Nizar Jamaluddin dan artis yang kini tekah menukar arah hidupnya kepada pendakwah sepenuh masa, Bob Lokman telah menyebabkan semua hadirin yang datang untuk mendengar pidato mereka terpukau dengan gaya dan maklumat terkini yang disampaikan oleh penceramah jemputan ini.

Turut berucap dalam ceramah tersebut ialah YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli serta Ahli Parlimen Kepong.

Majlis yang bermula kira-kira jam 9.15 malam itu telah dibuka tirai ucapan oleh Ketua cawangan Pas Berop, En Daud, dan diikuti dengan ucapan YDP yang menyentuh tentang kejayaan Pas menangani isu saman ekor. Menurut YDP yang juga seorang peguam, mutakhir ini kelihatan sudah ada sedikit tindakan daripada pihak-pihak yang terlibat untuk mengikut undang-undang negara. Beliau juga melahirkan kesyukuran dan berjanji bahawa jika Pas diberi kepercayaan mentadbir Malaysia, pasti rakyat tidak akan ditindas dan diperkotak katikkan seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN ketika ini.

YDP Turut Serta Misi Bantuan Banjir


2 Mei 2011- Beberapa tempat di Kawasan Tanjong Malim telah dinaiki air akibat hujan lebat yang turun sepanjang malam. Antara kawasan yang dinaiki air ialah Kg Menderang, Sungkai, Pekan Trolak, kampung Rasau dan beberapa kampung sekitar Slim dan Tg Malim.

Dalam kejadian banjir ini, Unit Amal terus bergegas ke kawasan yang memerlukan bantuan segera dan misi bantuan ini turut disertai oleh YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli.


Selain itu, pasukan bomba dan penyelamat turut hadir membantu memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat.

Menurut Tn Hj Aminuddin, Pas sedaya upaya akan membantu mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan bukan setakat banjir sahaja, tetapi merangkumi semua bantuan bagi menyelesaikan masalah penduduk setempat. Selain itu, beliau berazam akan terus memperjuangkan dan mencari jalan bagi mengatasi masalah penduduk yang sering menghadapi banjir apabila berlaku hujan lebat.