Wednesday, May 5, 2010
Petua Cepatkan Kemenangan Perjuangan Islam
Sebelum nabi diangkat menjadi Rasul, telah berlaku satu peristiwa banjir besar yang menyebabkan Hajarul Aswad terjatuh dari tempatnya. Akibatnya, puak Musyrikin Quraisy hampir berbunuhan kerana berebut untuk meletakkan Hajarul Aswad itu.
Penulis yakin ramai yang mengetahui dan pernah mendengar peristiwa ini, namun apa yang cuba disampaikan oleh AF Ustaz Abu Bakar Husin dalam ucapannya sewaktu Muktamar Pemuda Pas Perak pada 2 Mei 2010 yang bertempat di Markas Tarbiyyah Air Kuning adalah untuk mengimbau Sirah supaya sidang muktamirin menghayati 5 prinsip yang perlu diambil iktibar melalui peristiwa tersebut. Prinsip-prinsip tersebut diulaskan oleh beliau ialah:
1. Integriti. Ini dibuktikan dengan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada Nabi SAW sebagai orang yang paling layak untuk menyelesaikan kes berkenaan kerana Akhlak nabi yang diketahui sebagai yang terbaik.
2. Kreatif. Ini dibuktikan oleh baginda SAW apabila dalam situasi genting begitu, baginda dapat menyelesaikan konflik dengan cepat, tepat dan adil. Sebagai pemimpin, sifat kreatif ini perlu ada supaya setiap permasalahan yang datang dihadapi dengan penuh hikmah.
3. Siqah. Terbukti apabila Nabi diminta menyelesaikan masalah tersebut, nabi bersedia memberi khidmat tanpa banyak alasan.
4. Politik boleh di mana-mana sahaja, hatta di masjid. Peristiwa ini menjadi bukti bahawa Nabi SAW berpolitik di Masjidil Haram.
5. Pejuang Islam mesti menjadi "Mughayyir" atau pengubah kepada masyarakat melalui pembentukan peribadi mulia setiap individu, terutama ahli gerakan Islam yang membolehkan masyarakat menaruh keyakinan kepada kepimpinan yang dibawa.
Akhirnya, beliau menegaskan secara berseloroh, sekiranya mahu cepat mencapai kemenangan, pemuda boleh mempunyai lebih dari satu isteri, yang mana seorang isteri untuk menguruskan rumah, manakala seorang lagi boleh membantu kerja-kerja parti. Takbir bergema oleh sidang muktamirin sebagai menyambut cabaran PJ Pas Perak itu.. Wallahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment