Saturday, December 31, 2011

Hentikan Kezaliman UMNO Selamatkan Malaysia


UMNO BN semakin hari semakin zalim dan menyerlahkan kezalimannya apabila seringkali mempertahankan tindakan salahlaku pimpinannya dan menganggap rakyat masih lagi boleh diperbodohkan.

Pelbagai isu yang melanda Malaysia adalah angkara kezaliman UMNO BN yang memporak perandakan pentadbiran negara serta mengkayakan kroni melalui harta negara yang begitu banyak tanpa rasa segan dan malu. Negara yang dianugerahkan dengan kekayaan yang begitu banyak telah diselewengkan oleh UMNO demi memuaskan nafsu pimpinan mereka.

Begitulah antara ucapan yang disampaikan oleh Sdr Amran Harun selaku Timbalan YDP Pas Kampar yang juga PA kepada DS Nizar Jamaluddin. beliau berkata demikian dalam majlis ceramah yang diadakan di Kuala Slim. Turut berceramah bersama beliau, Sdr Suhaizan Kaiyat, Exco DPPP juga merupakan Ketua Pemuda Pas Johor. Ucapan juga turut disampaikan oleh wakil PKR.

Antara lain, Sdr Suhaizan menceritakan bagaimana pembohongan UMNO BN selama ini melalui undi pos dan pengundi hantu telah dapat dibuktikan. UMNO berjaya mempertahankan kemenangan mereka melalui penipuan yang terancang dengan kerjasama JPN yang sekarang giat pula mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing asalkan mengundi UMNO BN.

Ucapan aluan disempurnakan oleh Tn Hj Salam selaku Timbalan YDP Pas kawasan Tg Malim, manakala majlis dipengerusikan oleh Sdr Zulkifli Che Nas.

Dalam majlis tersebut juga, disampaikan saguhati kepada pelajar-pelajar cemerlang UPSR dan PMR. Sumbangan telah disampaikan oleh Sdr Suhaizan Kaiyat.

Monday, December 26, 2011

Ceramah Projek IC UMNO-BN

Tarikh : 30 Disember 2011
Masa : 9.00 malam
Tempat : Kuala Slim

Penceramah :

1. Sdr Suhaizan Kaiyat (AJK DPPP)
2. Sdr Amran Harun (PA DS Nizar Jamaluddin)

Semua Rakyat Malaysia dijemput hadir

Saturday, November 26, 2011

Kerjasama Pakatan Rakyat Pasti Menumbangkan BN - Mat Sabu


Slim River - Kerjasama yang begitu kukuh antara komponen parti Pakatan Rakyat amat menggerunkan UMNO Barisan Nasional. Ini kerana, walaupun Pas, Keadilan dan DAP begitu kuat dan berpengaruh di beberapa negeri dan kawasan parlimen tertentu, namun disebabkan masing-masing bertanding secara bersendirian, BN memanipulasikan peluang ini untuk terus memerintah.

Namun, situasi kini yang menyaksikan Pakatan Rakyat begitu erat dalam kerjasama politik, UMNO-BN sedaya upaya mencari jalan bagaimana memecah belahkan keutuhan ini. Mereka mengharapkan perpecahan Pakatan untuk terus berkuasa. Malangnya, usaha mereka memanipulasikan sebanyak mungkin isu untuk memburukkan pimpinan pakatan rakyat tidak berhasil kerana rakyat kini telah bijak menilai. Rakyat juga mula terdedah dengan sumber maklumat ketiga melalui media baru yang begitu mempengaruhi terutama golongan muda.

Begitulah telahan dan pandangan yang disuarakan oleh Timbalan Presiden Pas, Tn Hj Mohd Sabu ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Amal PRU 13 Pas Tg Malim. Beliau juga berkeyakinan Pakatan Rakyat pasti berjaya mempertahankan negeri-negeri yang diperintah, serta berupaya memenangi negeri yang masih belum diperintah. Ini berdasarkan kepada laporan audit negara yang memuji prestasi kepimpinan negeri-negri pakatan.

Turut hadir dan memberi ucapan, Tn Hj Aminuddin Zulkipli (YDP Pas Tg Malim), Sdr Hanipa Maidin, Sdr Richard Wong dan YB Sivanesan (ADUN Sungkai).

Majlis juga turut menyampaikan anugerah kepada Mantan Calon Pas yang pernah bertanding mewakili Pas dalam Parlimen Tg Malim. Selain itu, hadiah khas turut disumbangkan kepada En Chandra yang baru melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihannya berasal dari Kemboja.

Majlis berakhir kira-kira jam 11.00 malam.




Saturday, November 12, 2011

Majlis Makan Malam Amal PRU-13

Tarikh : 25 November 2011
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Dewan Cina, Slim River

Anjuran : Pas Kawasan Tg Malim

Dapatkan Kupon Segera

Hubungi

Sdr Salim Ariffin - 012-5343212
Tn Hj Junit bin Anuar - 013 - 5247520
Ust Mohd Shafie Hamid - 012 - 5435472


Monday, October 31, 2011

Pasti Melunaskan Tanggungjawab Ibubapa Dalam Pendidikan Islam

30 Oktober- Pasti Kawasan Tanjung Malim telah menjalankan acara tahunannya iaitu Majlis Konvokesyen Pelajar Pasti bertempat di dewan Tan Sri Ghazali Jawi. Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi itu telah dirasmikan oleh YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli.

Antara lain, beliau mengingatkan ibubapa tentang tugas memberi pendidikan Islam kepada anak-anak merupakan amanah besar yang wajib dipikul oleh para ibubapa. Walau bagaimanapun, Pasti telah membantu meringankan tanggungjawab ibubapa ini. Ilmu Islam ini merupakan bekal kepada masa depan anak-anak, buka sekadar di dunia bahkan hingga ke kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Turut mengiringi Tn Hj Aminuddin, Ketua Pemuda Pas Tg Malim, Sdr Junaidin Yusop serta turut diraikan, Tn Hj Yusuf, suami kepada almarhumah Ustazah Aminah yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini.

YDP turut menyampaikan anugerah kepada pelajar dan guru-guru Pasti.

Minum Petang Bersama Timbalan Presiden

Abang Mat bersama pimpinan Pas Kawasan serta pimpinan PKR dan DHPP

Tetap luangkan masa walaupun sibuk dengan tugas harian

Tn Hj Salam dan Tn Hj Junid serius membincangkan sesuatu..

Monday, September 19, 2011

Semua Kaum Memeriahkan Jamuan Hari Raya Pas Tg Malim

Slim River - Bermula jam 3.00 hingga 5.00 petang, bersesak tetamu memeriahkan serta merapatkan ukhuwah sambil menikmati hidangan di Jamuan Raya Pas Kawasan Tg Malim. Tetamu yang terdiri daripada pelbagai kaum ini begitu teruja dan ceria menikmati hidangan yang terdiri daripada pelbagai jenis juadah.

Menurut pengarah program, AF Ustaz Nik Abdul Hadi, semua juadah disediakan oleh cawangan-cawangan dalam kawasan Tg malim yang terdiri dari sate, mi kari, lemang, nasi impit, laksa, bihun sup dan bermacam-macam jenis kuih.

Majlis turut diserikan dengan ucapan YDP, Tn Hj Aminuddin Zulkipli, Timbalan YDP, Ketua Pemuda dan wakil Parti Keadilan. Turut hadir ialah barisan pimpinan Pakatan Rakyat daripada PKR dan DAP.

Kemeriahan turut dirasai oleh kanak-kanak yang hadir apabila mendapat sumbangan duit raya daripada YDP dan Ketua Muslimat Pas Kawasan Tg Malim.







Thursday, August 25, 2011

Taqwa Matlamat Mukmin Berpuasa



Allah mengingatkan hambanya agar menunaikan puasa dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Hal ini akan menatijahkan lahirnya sifat taqwa kepada Allah.

Janji Allah, seseorang yang bertaqwa nescaya akan diberi kemenangan oleh Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Seterusnya, sebagai pemimpin, tidak kira sebagai pimpinan keluarga ataupun pimpinan masyarakat, sifat taqwa akan menjurus seseorang melakukan tindakan yang betul sebagaimana dikehendaki oleh Allah SWT demi mencapai redhanya. Hasilnya, seluruh masyarakat akan beroleh kesejahteraan.

Begitulah antara tazkirah yang disampaikan al Fadhil Ustaz Nik Abdul Hadi selepas selesai jamaah menunaikan Solat Sunat Tarawih di Surau Ehsaniah, Kg Rasau. Beliau menyampaikan tazkiran sempena majlis iftar dan penyampaian saguhati kepada fakir miskin dan saudara baru yang diadakan di perkarangan surau selepas Solat Maghrib.

Semua sumbangan disampaikan oleh YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli. Majlis juga turut dihadiri oleh Timbalan YDP, Naib YDP, Setiausaha, Tn Hj Junid dan barisan kepimpinan Pas kawasan dan Pas Cawangan Kg Rasau.


Ziarah Tanda Prihatin


22 Ogos - YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli sempat meluangkan masa bagi menyertai program ziarah ke rumah Sdr Suhaimi di Kg Sungai Jurong. Sebagai tanda prihatin, pihak Pas Kawasan Tg Malim melalui YDP telah menyumbangkan sebuah kerusi roda dan sedikit sumbangan hari raya serta hamper kepada Sdr Suhaimi.

Ziarah ini merupakan kunjungan kali kedua selepas kunjungan pertama baru-baru ini bagi mendengar segala luahan dan kesulitan serta mencari jalan bagi meringankan beban saudara seagama.

Ziarah yang dilakukan selepas Solat Asar itu turut disertai oleh setiausaha Pas kawasan, Tn Hj Junid serta pimpinan-pimpinan Pas Cawangan Slim Village Maju.

Harapan daripada pihak Pas agar sumbangan ini dapat menceriakan Sdr Suhaimi bagi sama-sama menyambut aidilfitri yang bakal menjelang.


Sunday, August 21, 2011

Sumbangan Kepada Pesakit di Hospital Slim River

20 Ogos - Seluruh AJK Pas Kawasan Tanjong Malim bersama ahli-ahli yang turut hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Slim River berkumpul di lobi hospital sekitar jam 3.00 petang. Setelah persediaan dan taklimat ringkas daripada kakitangan hospital, semua AJK yang hadir telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi memudahkan urusan penyampaian sumbangan.

Turut serta dalam program tahunan Pas Kawasan Tg Malim ini adalah pengarah program, Ust Nik Hadi juga merangkap NYDP, YDP Tn Hj Aminuddin Zulkipli, TYDP Tn Hj Salam, Setiausaha Tn Hj Mohd Junid dan barisan exco yang lain.

Semua pesakit yang ditemui menyambut baik kehadiran jawatankuasa Pas bagi menyampaikan sumbangan. YDP yang menyampaikan sumbangan turut memberikan kata-kata perangsang kepada pesakit agar pesakit terus tabah menerima ujian Allah dan berharap dapat menyambut Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Program menyampaikan sumbangan berakhir sekitar jam 4.30 petang.


Membuat persediaan ketika di Lobi HSR

Bersiap sedia untuk menjalankan tugas..

Hj Aminuddin dan Hj Hamid ketika menyantuni pesakit-pesakit di HSR


Tuesday, August 2, 2011

Ihtifal Alam Ria Pasti 2011

30 Julai - Bertempat di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, telah diadakan buat julung kalinya Ihtifal Pasti Kawasan Tanjong Malim dengan penuh meriah. Majlis yang berlangsung seawal jam 8.00 pagi telah dirasmikan oleh Ketua Pemuda Pas Tg Malim, Sdr junaidin bin Yusop.

Pimpinan Pas Kawasan turut hadir termasuk YDP, Tn Hj Aminuddin Zulkipli, Setiausaha, Tn Hj Junid, En Daud, Ust Mohd Shafie dan beberapa barisan kepimpinan yang yang lain.

Terdapat 8 buah Pasti yang mengambil bahagian dalam acara pertandingan tahun ini, iaitu Pasti Barakah, Firdaus, An Nisa', Mawaddah, Ansar, Al Hilal, Ehsaniah dan Nurul Ain. Juara keseluruhan pertandingan tahun ini disandang oleh Pasti Mawaddah.








Tuesday, July 26, 2011

Menziarahi Sdr Suhaimi di Sungai Jorong

25 Julai - Pas Cawangan Slim Village bersama Pas kawasan Tanjung Malim telah mengadakan kunjungan ukhuwah ke rumah Saudara Suhaimi Kasim di Kampung Sungai Jorong. Ziarah yang dijalankan ini merupakan rutin bagi Pas Cawangan Slim Village maju, tetapi kali ini, lebih bermakna dengan disertai bersama pimpinan Pas kawasan Tanjong Malim.

Sebelum menziarahi sdr Suhaimi, semua pimpinan bersolat Asar di Masjid Slim Village. Antara pimpinan Pas kawasan yang hadir ialah Tuan Hj Junid selaku Setiausaha Pas Kawasan dan Sdr Salim, Penolong Setiausaha. Pimpinan cawangan pula diketuai oleh Sdr Yahaya selaku Ketua Cawangan dan turut bersama Timbalan Ketua Cawangan, Setiausaha dan beberapa orang AJK Pas Cawangan.

Latar Belakang

Sdr Suhaimi adalah seorang aktivis Pas yang telah terlibat dalam kemalangan ketika memasang bendera untuk berkempen pada pilihanraya tahun 1999. Akibatnya, beliau lumpuh dan tidak dapat menjalankan kerja hariannya seperti biasa.

Sepanjang keadaannya yang begitu, beliau ada juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pada permulaan, beliau menerima sebanyak RM300 sebulan, tetapi telah dikurangkan kepada RM150 sebulan. Hal ini amat menggusarkan beliau, kerana beliau tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain.

Menurut beliau lagi, sikap ketua kampung di situ kurang membantu. Walaupun begitu, daripada luahan melalui perbualan petang tadi menunjukkan beliau seorang yang amat tabah dan tidak mengharapkan kepada bantuan itu semata-mata. Kelihatan dari tutur bicaranya, beliau tidak suka meminta-minta walaupun memang beliau layak untuk mendapat bantuan.

Kunjungan Pas melalui pimpinan kawasan kali ini berjanji akan merujuk perkara ini kepada pihak yang berwajib dan berjanji akan menguruskan serta mencari jalan bagi meringankan beban yang dihadapi oleh Sdr Suhaimi.

Sebelum bersurai, pihak rombongan telah menyampaikan sedikit sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan yang disampaikan oleh Setiausaha Pas kawasan dan Ketua Pas Cawangan. Sekitar jam 5.30 petang, majlis bersurai dengan bersalam-salaman serta bergambar kenangan.

Kepada yang berhajat menyumbangkan sebarang keperluan kepada Sdr Suhaimi, boleh berhubung dengan beliau di talian 017-6401201.

Keadaan Sdr Suhaimi yang bergerak menggunakan kerusi roda sahaja..

Pimpinan Pas menyantuni Sdr Suhaimi...

Menyampaikan sumbangan dan bergambar kenangan..

Mesyuarat AJK Pas Bersama Ketua-ketua Cawangan

Tarikh:
26 Julai 2011

Masa:
9.00 malam

Tempat:
Pejabat Pas Kawasan Tg Malim

Agenda:
Rujuk Surat Jemputan

Friday, July 8, 2011

Renungilah Bait Puisi Sasterawan Negara Ini..

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A Samad Said

Sumber: Malaysiakini.com

Saturday, June 11, 2011

Timbalan YDP Pas Tg Malim di ICU

Timbalan Yang Dipertua Pas kawasan Tanjong Malim, Tn Hj Salam ditahan di Wad ICU Hospital Slim River. Menurut sumber rasmi daripada keluarga beliau, Tn Hj Salam telah dimasukkan ke wad ICU ini sejak 9 Jun yang lalu.

Beliau yang merupakan antara perwakilan Pas Kawasan ke Muktamar Pas Pusat baru-baru ini tetap menjalankan amanahnya serta mengikuti perjalanan muktamar Pas sehingga ke akhirnya. Walaupun keadaan kesihatannya sedikit uzur, namun demi perjuangan dan amanah yang diberikan kepada, beliau terus menyumbangkan khidmat dalam perjuangan Pas ini.

Bagi pihak YDP dan seluruh AJK Pas Kawasan Tg Malim mendoakan agar beliau cepat sembuh dan dapat bersama saf kepimpinan meneruskan gerak kerja ke arah Pembentukan Negara Berkebajikan. Marilah kita sama-sama berdoa agar beliau sentiasa dalam keredhaan Allah SWT dan semoga seluruh ahli keluarga tetap tabah dan bersabar dengan segala dugaan dan ujian yang mendatang ini.

...setakat berita ini ditulis, beliau masih lagi di Wad ICU Hospital Slim River...

Saturday, May 28, 2011

Pertemuan Penuh Ukhuwah Pimpinan PAS & PKR Tanjong Malim

Bergambar kenangan sejurus selepas perbincangan..

29 Mei 2011- Buat julung kali secara rasminya, pimpinan Pas Kawasan Tg Malim telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Cabang Tanjong Malim. Pertemuan seramai 20 orang pimpinan ini telah diketuai oleh YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli bersama pimpinan Harian Pas Kawasan dan di pihak PKR diketuai oleh Naib Pengerusi Cabang PKR Tg Malim, Wan Zulkipli dan rombongan.



Perbincangan menjurus kepada perancangan bagi mengadakan program bersama dalam kawasan Tg Malim. Berbekalkan semangat ukhuwah yang tinggi daripada kedua-dua pihak pimpinan, perbincangan telah berlangsung dalam suasana penuh dengan kesediaan mengukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin. Antara program terdekat yang dibincangkan akan dilaksanakan secara bersama ialah Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat di Slim River.



Menurut YDP Pas Tg Malim, pembentukan sekretariat bagi melicinkan perjalanan Pakatan Rakyat di Tanjong Malim perlu disegerakan. Tambahnya lagi, matlamat yang satu untuk menjatuhkan Barisan Nasional dan memenangkan Pakatan Rakyat serta menawan Putrajaya bukanlah omong-omong kosong, tetapi ianya bersandarkan kepada fakta bahawa Pas dan Pakatan Rakyat memang bersedia untuk mengambil alih pentadbiran negara ini bagi memastikan kebajikan rakyat menjadi agenda utama untuk direalisasikan.



Majlis yang bermula sekitar jam 2.00 petang itu telah dilangsungkan di Pejabat Pas Kawasan Tg Malim, Bandar Baharu Slim River. Majlis berakhir sekitar jam 4.00 petang dengan pimpinan kedua-dua parti minum petang di sebuah restoran di Slim River.

Serius...Perbincangan dan bertukar-tukar fikiran

Menikmati jamuan selepas sesi pertemuan...

Thursday, May 12, 2011

Majlis Bacaan Yaasin & Tahlil Untuk Allahyarham Ust Hashim

Gambar kenangan ketika arwah terlantar sakit..

10 Mei - Sekitar jam 7.05 pagi, pihak Pas Kawasan Tg Malim telah dimaklumkan secara rasmi kembalinya AF Ustaz Hashim Hamud, Mantan Ketua Urusan Ulamak Pas Kawasan Tg Malim menghadap Ilahi. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Tanjung Karang dan di kebumikan di sana.

Atas kesedaran, ramai kenalan dan sahabat-sahabat allahyarham tidak sempat menziarahinya, maka Pas kawasan Tg Malim dengan kerjasama Pas Cawangan Kg Rasau telah menganjurkan satu majlis Bacaan Yaasin dan tahlil untuk arwah. Majlis diadakan di Masjid Kg Rasau.

Bacaan yaasin dan tahlil dipimpin oleh AF Tn Hj Baharuddin Ishak, Ketua Urusan Ulamak Pas Tg Malim. Selesai Solat Maghrib, semua hadirin yang memenuhi ruang masjid itu terus bersedia membaca Yaasin. Sebelum majlis bermula, YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli sempat memberikan sepatah dua kata sebagai aluan dan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir dan menjayakan majlis.

Majlis bersurai setelah semua jamaah selesai menunaikan Solat Isyak. Laungan takbir menggegarkan suasana masjid sebaik sahaja imam selesai memimpin doa Solat Isyak.

Allahu akbar!! Allahu akbar!! Allahu akbar!!

Semoga ruh Allahyarham digolongkan bersama orang-orang yang mendapat keampunan Allah serta diredhai...Amin.

Wednesday, May 4, 2011

Bob Lokman dan DS Nizar Memukau Hadirin di Tg Malim


3 Mei 2011- Program Ceramah Khas melibatkan Menteri Besar Perak pilihan rakyat, DS Nizar Jamaluddin dan artis yang kini tekah menukar arah hidupnya kepada pendakwah sepenuh masa, Bob Lokman telah menyebabkan semua hadirin yang datang untuk mendengar pidato mereka terpukau dengan gaya dan maklumat terkini yang disampaikan oleh penceramah jemputan ini.

Turut berucap dalam ceramah tersebut ialah YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli serta Ahli Parlimen Kepong.

Majlis yang bermula kira-kira jam 9.15 malam itu telah dibuka tirai ucapan oleh Ketua cawangan Pas Berop, En Daud, dan diikuti dengan ucapan YDP yang menyentuh tentang kejayaan Pas menangani isu saman ekor. Menurut YDP yang juga seorang peguam, mutakhir ini kelihatan sudah ada sedikit tindakan daripada pihak-pihak yang terlibat untuk mengikut undang-undang negara. Beliau juga melahirkan kesyukuran dan berjanji bahawa jika Pas diberi kepercayaan mentadbir Malaysia, pasti rakyat tidak akan ditindas dan diperkotak katikkan seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN ketika ini.

YDP Turut Serta Misi Bantuan Banjir


2 Mei 2011- Beberapa tempat di Kawasan Tanjong Malim telah dinaiki air akibat hujan lebat yang turun sepanjang malam. Antara kawasan yang dinaiki air ialah Kg Menderang, Sungkai, Pekan Trolak, kampung Rasau dan beberapa kampung sekitar Slim dan Tg Malim.

Dalam kejadian banjir ini, Unit Amal terus bergegas ke kawasan yang memerlukan bantuan segera dan misi bantuan ini turut disertai oleh YDP Pas Tg Malim, Tn Hj Aminuddin Zulkipli.


Selain itu, pasukan bomba dan penyelamat turut hadir membantu memindahkan mangsa ke tempat yang lebih selamat.

Menurut Tn Hj Aminuddin, Pas sedaya upaya akan membantu mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan bukan setakat banjir sahaja, tetapi merangkumi semua bantuan bagi menyelesaikan masalah penduduk setempat. Selain itu, beliau berazam akan terus memperjuangkan dan mencari jalan bagi mengatasi masalah penduduk yang sering menghadapi banjir apabila berlaku hujan lebat.

Thursday, April 28, 2011

Perpaduan Pakatan Rakyat Menggusarkan UMNO-BN - DS Nizar


27 April -UMNO BN bersungguh-sungguh mengadakan fitnah bahawa Pakatan Rakyat yang didokong oleh Pas, PKR dan DAP sering bertelagah dalam menentukan sesuatu isu atau sering tidak sekata dalam menyatakan pendirian sesuatu isu. Media BN sering mengetengahkan putar belit fakta bagi menggambarkan keadaan yang tidak selesa itu. Akhirnya, mereka berharap Pakatan akan berpecah dan Umno BN dapat manfaatnya.

DS Nizar menambah, namun, usaha ini sebenarnya tidak akan berjaya kerana rakyat kini sedar akan segala tipudaya Umno BN dan mereka mengakui sukar untuk mempengaruhi terutama golongan yang mesra IT. Beliau berkata demikian ketika memberikan kuliah Maghrib di Surau Ehsaniah, Kampung Rasau, Slim River, malam tadi.

Terdahulu beliau bersama rombongan serta diiringi oleh YDP Pas Kawasan, Tn Hj Aminuddin Zulkipli serta barisan jawatankuasa telah menziarahi AF Ustaz Hashim Hamud yang terlantar sakit akibat kencing manis di rumahnya, di kampung Gapis.

Selesai memberikan kuliah Maghrib, beliau bergegas pula ke Tapah untuk memenuhi satu lagi jemputan ceramah.

Rata-rata penduduk yang ditemui menyatakan kegembiraan dapat bertemu DS Nizar Jamaluddin dan berdoa agar beliau terus dapat menerajui pemerintahan Perak selepas Pilihanraya Umum ke 13 nanti.

Sunday, April 24, 2011

Tahniah Jawatankuasa Pas Kawasan Sesi 2011-2013

Berikut merupakan senarai penuh jawatankuasa yang dipilih oleh perwakilan melalui Mesyuarat Agung Pas kali ke 29 yang berakhir pada jam 2.00 petang tadi.

Yang Dipertua
Tn Hj Aminuddin bin Zulkipli

Timbalan Yang Dipertua
Tn Hj Abdul salam bin Abdullah

Naib yang Dipertua
Ustaz Nik Abdul Hadi bin Rj Abdullah

Ketua Urusan Ulamak
Tn Hj Baharuddin Ishak

Ahli Jawatankuasa
Tn Hj Junid bin Anuar
Sdr Mohd Salim bin Ariffin
Sdr Zulkifli Che Nas
Tn Hj Napiah Tokoromo
Tn Hj Azalee bin Hassan
Tn Hj Badiuzzaman
Ust Mohd Shafie Hamid
Pn Hjh Rohana
Ust Syed Zamzuri
Sdr Suhaili
Pn Hjh Harisah
Tn Hj Kadri
Sdr Abdul Gani
Sdr Rostam bin Ramli
Sdr Ahmad Fauzi bin Yazid


Bagi jawatan Pengerusi tetap, timbalam pengerusi tetap dan pemeriksa kira-kira kekal bagi penyandang sebelumnya.

Mesyuarat Agung Pas Kawasan kali ke 29

Tarikh : 24 April 2011
Hari : Ahad
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Markas Pas Serigala
Perasmi : Tn Hj Razman bin Zakaria





Thursday, April 14, 2011

Ibu Penolong Setiausaha Pas Kawasan Meninggal Dunia

14 April- Pas Kawasan Tanjung Malim merakamkan takziah di atas pemergian bonda tercinta kepada Penolong Setiausaha Pas Kawasan Tg Malim, Tn Hj Mohd Junid kira-kira pukul 2.30 pagi tadi. Menurut sumber rasmi Pas Kawasan Tanjong Malim, jenazah Allahyarhamah akan disolatkan di Surau Kampung Naran pada jam 11.00 pagi ini.

Semoga ruh Allahyarhamah digolongkan bersama orang-orang yang beriman dan diredhai Allah.

Sunday, April 3, 2011

Mantan Ketua Pemuda Dicalonkan Sebagai YDP sesi 2011-2013


Sekitar jam 3.00 petang tadi, berakhirlah sesi mesyuarat agung tahunan Dewan Pemuda Pas Tanjung Malim kali ke 9. Perasmian mesyuarat agung kali ini telah disempurnakan perasmiannya oleh naib ketua Pemuda Negeri Perak, sdr Salman bin Salleh.

Pas Kawasan Tanjung Malim telah diwakili oleh AF Ustaz Mohd Shafie Hamid yang telah berucap bagi pihak Pas kawasan.

Pemilihan jawatankuasa tahun ini telah melantik ketua pemuda yang baru menggantikan Tn Hj Aminuddin Zulkipli yang telah tamat tempoh kepemudaannya. Walau bagaimanapun, dalam agenda pemilihan Jawatankuasa Pas Kawasan sesi 2011-2013, para perwakilan telah memilih Tn Hj Aminuddin Zulkipli sebagai calon YDP bagi sesi pemilihan mesyuarat agung Pas Kawasan pada 24 April akan datang.

Selain itu, turut dicalonkan ialah Ust Nik Abdul Hadi (Timbalan), Tn Hj Junid (Naib) dan Tn Hj Salam (Ketua Urusan Ulama'). bagi jawatan AJK, pihak perwakilan telah memberi mandat kepada kepimpinan pemuda yang baru dilantik di bawah pimpinan Sdr Junaidin Yusop untuk mencadangkan pencalonan.

Pastikan semua ahli Pas kawasan Tg Malim hadir ke mesyuarat agung tahunan nanti sebagai memenuhi tanggungjawab ahli parti. Jangan lepaskan peluang dan hak anda untuk menentukan kepimpinan yang dapat membawa Pas Tg Malim lebih ke hadapan pada masa akan datang. Insyaallah.

Sunday, February 27, 2011

Perbaiki Diri Untuk Menjadi Pendakwah Yang Berjaya


Pas Cawangan Slim Village Maju telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya bagi kali ke 10 dengan dirasmikan oleh AJK Pas Kawasan Tg Malim, AF Ustaz Mohd Shafie bin Hamid.

Beliau mengimbas kembali betapa Pas suatu ketika dulu sukar didekati oleh golongan bukan Islam. Namun keadaan kini amat berbeza kerana sokongan yang diterima daripada golongan bukan Islam adalah melebihi daripada sokongan orang Islam berketurunan Melayu di sesetengah kawasan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pendokong perjuangan Islam melalui Pas supaya bangkit dan perbaiki diri demi melahirkan pendakwah yang berjaya menunjukkan contoh teladan bagaimana rupa tata laku Islam yang sebenar.

Beliau juga mengingatkan tentang amanah kepimpinan kepada AJK yang akan dilantik untuk sesi 2011-2013. Berjuanglah dengan ikhlas dan yakinlah akan janji-janji Allah bagi mereka yang berjihad menegakkan Islam di muka bumi ini.

Wednesday, February 23, 2011

Sehari Bersama Dr Mujahid Yusuf Rawa

Tarikh : 20 Februari 2011
Tempat : Pekan Trolak, Kg Pisang, Rasau, Sungkai