Thursday, February 16, 2012

Anak tuntut EGM bantah penyenaraian FGVH

KUALA LUMPUR, 16 Feb:Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini menghantar notis menuntut diadakan mesyuarat agung khas (EGM) bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia di pejabat Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Tuntutan tersebut dibuat menggunakan peruntukan fasal 29 (1) Undang-undang Kecil KPF.

Menurut Undang-undang Kecil KPF, Lembaga pada bila-bila masa boleh, dan apabila ada rekuisisi yang ditandatangani oleh sekurang-kurangnya satu perlima atau satu ratus perwakilan mengikut mana yang kurang hendaklah memanggil suatu mesyuarat agung perwakilan khas mengikut subseksyen 40 (1).

Bercakap kepada media selepas penyerahan tersebut, Presiden Anak, Mazlan Aliman berkata, EGM itu akan meminta KPF tidak dikaitkan dengan menyenarai FGVH dalam apa cara sekali pun.

"KPF dilarang sama sekali untuk lupuskan ekuiti milik KPF dalam Felda dan sepuluh anak syarikat milik Felda kepada FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh Felda atau FGVH," katanya.

Selain itu, mereka juga menuntut agar KPF melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam Felda dan sepuluh anak syarikat Felda oleh mana-mana pihak termasuk Felda atau FGVH atau mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh Felda.

Mazlan menyerahkan notis tersebut kepada Pengurus Operasi dan Pentadbiran KPF, Ahmad Tarmizi.

Sebelum itu, hanya Mazlan dan Pengerusi Bangkit Abdul Rahman Ramli dibenarkan masuk berbincang kira-kira 10 minit sebelum penyerahan di luar pejabat.

Beliau turut berkata, pihaknya yakin jika EGM itu berlangsung, jumlah perwakilan yang hadir lebih ramai daripada perwakilan yang akan hadir ke EGM bagi menyokong penyenaraian FGVH pada 22 Februari ini.

Ditanya tindakan seterusnya jika EGM itu tidak diluluskan, Mazlan berkata Anak akan mengambil tindakan undang-undang.

"Kita dah berbincang dengan peguam dan peguam kata ia boleh dicabar di mahkamah sebab EGM ini memang ada dalam peruntukan undang-undang kecil KPF," katanya.

Sementara itu, Anak akan memfailkan injunksi sekali lagi di Mahkamah Tinggi Temerloh bagi menghalang EGM 22 Februari ini.

Beliau turut mengulangi gesaan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau EGM tersebut kerana dikhuatiri terdapat unsur rasuah.

"Anak ada terima maklumat perwakilan mula disogok untuk hadir ke EGM dengan diberikan RM350 seorang.

"Dan difahamkan RM1 juta habis untuk EGM itu. Kita takut perwakilan disogok untuk bersetuju dengan penyenaraian," katanya.

Sumber : Harakahdaily.net

No comments: